Rabu, 16 September 2009

Malam Misteri Yang Dirindui

Fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain telah hampir ke penghujungnya, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadhan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunanNya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepadaNya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadhan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah Subhanhu Wa Taala dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah Subhanhu Wa Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah Subhanhu Wa Taala mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah Subhanhu Wa Taala bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah Subhanhu Wa Taala Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hambaNya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk Syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah Subhanhu Wa Taala mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah Subhanhu Wa Taala kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadhan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan soleh lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadhan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabiNya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi Salallahu Alaihi Wasallam adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah Subhanhu Wa Taala, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah Subhanhu Wa Taala sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi Salallahu Alaihi Wasallam menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah Subhanhu Wa Taala, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah Subhanhu Wa Taala dan dikira sebagai amal-amal yang soleh, Insya Allah.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Marhaban Ya Ramadhan.. Beramallah dengan ikhlas.




Dari Abu Hurairah; Abdurrahman bin Shakhr , berkata;

Aku mendengar Rasulullah bersabda;
Sesungguhnya manusia yang pertama-tama diadili pada hari kiamat kelak adalah seorang yang mati syahid.

Dia akan dihadapkan pada nikmat-nikmatnya dan dia mengenalnya.
(Allah) berkata, "Apa yang engkau lakukan dengan itu semua?"

"Aku telah berperang demi Engkau, hingga aku mati syahid."


(Allah) berkata, "Engkau bohong! Engkau berperang agar disebut sebagai orang yang hebat. Dan engkau telah disebut sebagai seorang yang hebat"


Kemudian Allah memerintahkan Malaikat untuk mengheretnya telungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.


Kemudian seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan juga membaca Al Quran.


Dia didatangkan, kemudian diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang sudah didapatkannya dan dia pun mengakuinya.

Allah bertanya, "Apakah yang sudah kau perbuat dengannya?"


Maka dia menjawab, "Aku menuntut ilmu, mengajarkannya dan membaca Al Quran keranaMu.”"

Allah berfirman, "Engkau dusta! sebenarnya engkau menuntut ilmu supaya disebut orang alim. Engkau membaca Quran supaya disebut sebagai Qari"

Kemudian Allah memerintahkan Malaikat untuk menyeretnya terlungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.”

Kemudian ada seseorang ... yang telah mendapatkan anugerah kelapangan harta. Dia didatangkan dan diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang diperolehnya. Maka dia pun mengakuinya.

Allah bertanya, "Apakah yang sudah kamu perbuat dengannya?"

Dia menjawab, "Tidaklah aku tinggalkan suatu kesempatan untuk menginfakkan harta di jalanMu kecuali aku telah infakkan hartaku untukMu."

Allah berfirman, "Engkau dusta, sebenarnya engkau lakukan itu semua demi mendapatkan gelaran dermawan, dan engkau sudah memperolehnya."

Kemudian Allah memerintahkan Malaikat untuk mengheretnya telangkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

(Hadith Riwayat Muslim)


Na'udzu billah ...
ampuni kami ya Allah ...
jadikan kami hamba-hambaMu yang bermal dengan ikhlas,
jauhkan kami dari perbuatan mensyirikkan Engkau...
Yaa Rabb...

Marilah kita masuki bulan Ramadhan dengan mengikhlaskan diri beramal kerana Allah semata, Allah Azza wa Jalla akan menolak semua amalan, walau betapa baik dan mulianya amalan itu, jika diniatkan bukan kerana mencari redha Allah, tetapi kerana hanya ingin mendapatkan pujian dari makhluk.


Khusus mengenai amalan Ramadhan ini,

Allah telah mengingatkan kita melalui RasulNya Muhammad Salalallahu Alaihi Wa Sallam,
bahawa puasa Ramadhan ini semata-mata milik Allah, dan Allah pulalah yang akan membalasinya. Maka hindarilah beramal kerana ingin dipuji manusia dan hindarilah beramal kerana ingin disebut sebagai orang soleh saja, tetapi jadilah kita semua orang yang beribadah kerana mengharapkan redha Allah semata ...

Moga kita semua mampu memperbaiki amalan kita setiap saat ...

Amin Ya Rabbal `alamin.

Rabu, 22 Julai 2009

Kunci Syurga : Marilah Kita Dapatkannya.




Ibarat sebuah pintu, Syurga memerlukan sebuah kunci untuk membuka pintu-pintunya. Namun, tahukah anda apakah kunci Syurga itu? Bagi yang merindukan Syurga, tentu akan berusaha mencari kuncinya walaupun harus mengorbankan nyawa.


Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam telah menunjukkan pada umatnya apa kunci Syurga itu, sebagaimana tersebut dalam sebuah hadith, baginda bersabda:


“Sesiapa yang mengucapkan kalimat Laa Ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan, maka dia akan masuk Syurga.“ (HR. Imam Ahmad dengan sanad yang sahih).


Ternyata, kunci Syurga itu adalah Laa ilaahaa illallah, kalimat Tauhid yang sering kita ucapkan. Namun semudah itukah pintu Syurga kita boleh buka? Bukankah banyak orang yang siang malam mengucapkan kalimat Laa ilaaha illallah, tetapi mereka masih meminta-minta (berdoa dan beribadah) kepada selain Allah, percaya kepada dukun-dukun dan melakukan perbuatan syirik lainnya? Akankah mereka ini juga boleh membuka pintu Syurga? Sungguh tidak mungkin!

Al-Iman Al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya (3/109), bahawa seseorang pernah bertanya kepada Al-Imam Wahab bin Munabbih (seorang Tabi’in terpercaya dari Shan’a yang hidup pada tahun 34-110 H:


“Bukankah Laa ilaaha illallah itu kunci Syurga?” Wahab menjawab: “Benar, akan tetapi setiap kunci yang bergerigi. Jika engkau membawa kunci yang bergerigi, maka pintu Syurga itu akan dibukakan untukmu!”


Lalu, apa gerangan gerigi kunci itu Laa ilaaha illallah itu? Ketahuilah, gerigi kunci Laa ilaaha illallah itu adalah syarat-syarat Laa ilaaha illallah!


Syeikh Abdurrahman bin Muhammad bin Qashim Al-Hambali An-Najdi Rahimahullah, penyusun kitab Hasyiyyah Tsalatsatil Ushul, pada halaman 52 kitab tersebut menyatakan, syarat-syarat Laa ilaaha illallah itu ada lapan, iaitu:


Pertama : Al-‘Ilmu (mengetahui)


Maksudnya adalah anda harus mengetahui erti Laa ilaaha illallah secara benar. Adapun ertinya adalah: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah.”


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:


“Barang siapa mati dalam keadaan mengetahui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, nescaya dia akan masuk Syurga.” (HR. Muslim).


Seandainya anda mengucapkan kalimat tersebut, tetapi anda tidak mengerti maknanya, maka ucapan atau persaksian tersebut tidak sah dan tidak ada faedahnya.


Kedua : Al-Yaqiinu (meyakini)


Maksudnya adalah anda harus menyakini secara pasti kebenaran kalimat Laa ilaaha illallah tanpa ragu dan tanpa bimbang sedikit pun. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda :


“Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak di sembah kecuali Allah dan aku adalah utusan Allah. Tidaklah seorang hamba bertemu dengan Allah sambil membawa dua kalimat syahadat tersebut tanpa ragu kecuali pasti dia akan masuk Syurga.” (HR. Muslim).


Ketiga : Al-Qobulu (menerima)


Maksudnya anda harus menerima segala tuntunan Laa ilaaha illallah dengan senang hati, lisan dan perbuatan, tanpa menolak sedikitpun. Anda tidak boleh seperti orang-orang musyrik yang di gambarkan oleh Allah dalam Al-Quran :



إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ * وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُو آلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَجْنُونٍ

“Orang-orang yang musyrik itu apabila di katakan kepada mereka : (ucapkanlah) Laa ilaaha illallah, mereka menyombongkan diri sambil berkata : Apakah kita harus meninggalkan sembahan-sembahan kita hanya kerana ucapan penyair yang gila ini?” -As-Shaffat: 35-36-


Keempat : Al-Inqiyaadu (tunduk atau patuh)


Maksudnya anda harus tunduk dan patuh melaksanakan tuntunan Laa ilaaha illallah dalam amal-amal nyata. Allah Subhanahu Wa Taala :



وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ

“Kembalilah ke jalan Tuhanmu, dan tunduklah kepadaNya.“ -Az-Zumar: 54-

Allah Taala juga berfirman:



وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى

“Dan barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang pada buhul (ikatan) tali yang amat kukuh (iaitu kalimat Laa ilaaha illallah).” -Luqman : 22-


Makna “menyerahkan dirinya kepada Allah” iaitu tunduk, patuh dan pasrah kepadaNya.


Kelima : Ash-Shidq (jujur atau benar)


Maksudnya anda harus jujur dalam melaksanakan tuntutan Laa ilaaha illallah, iaitu sesuai antara keyakinan hati dan amal nyata, tanpa disertai kebohongan sedikit pun. Nabi Salallahu Alaihi Wasallam bersabda :


“Tidaklah seseorang itu bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak di sembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya, dia mengucapkannya dengan jujur dari lubuk hatinya, melainkan pasti Allah mengharamkan neraka atasnya.” -HR. Imam Bukhari dan Muslim-


Keenam : Al-Ikhlas (ikhlas atau murni)


Maksudnya anda harus membersihkan amalan dari noda-noda riya’ (amalan ingin di lihat dan dipuji oleh orang lain), dan berbagai amalan kesyirikan lainnya. Nabi Salallahu Alaihi Wasallam bersabda :


“Sesungguhnya Allah mengharamkan neraka bagi orang yang mengucapkan Laa ilaaha illallah semata-mata hanya untuk mengharapkan wajah Allah Azza wa Jalla.” (HR. Imam Bukhari dan Muslim).


Ketujuh : Al-Mahabbah (mencintai)


Maksudnya anda harus mencintai kalimat tauhid, tuntunannya, dan mencintai juga kepada orang-orang yang bertauhid dengan sepenuh hati, serta membenci segala perkara yang merosak tauhid itu. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman :



وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ

“Dan di antara manusia ada yang menbuat tandingan-tandingan (sekutu) selain Allah yang di cintai layaknya mencintai Allah. Sedangkan orang-orang yang beriman, sangat mencintai Allah diatas segala-galanya).” -Al-Baqarah : 165-


Dari sini kita tahu, Ahlut Tauhid mencintai Allah dengan cinta yang tulus bersih. Sedangkan Ahlus Syirik mencintai Allah dan mencintai tuhan-tuhan yang lainnya. Hal ini tentu sangat bertentangan dengan isi kandungan Laa ilaaha illallah.


Kelapan : Al-Kufru bimaa siwaahu (mengingkari sesembahan yang lainnya)


Maksudnya anda harus mengingkari segala sembahan selain Allah, iaitu tidak mempercayainya dan tidak menyembahnya, dan juga harus yakin bahawa seluruh sesembahan selain Allah itu batil dan haram disembah. Allah Subhanahu Wa Taala menyatakan :



فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لا انْفِصَامَ لَهَا

“Maka barang siapa mengingkari thaghut (sembahan selain Allah) dan hanya beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh pada ikatan tali yang amat kukuh (iaitu kalimat Laa ilaaha illallah), yang tidak akan putus….” -Al-Baqarah: 256-


Saudaraku kaum muslimin dan muslimat dari sini dapatlah kita ketahui, bahawa orang yang mengucapkan kalimat Laa ilaaha illallah hanya dengan lisannya tanpa memenuhi syarat-syaratnya, dia bagaikan orang yang memegang kunci tak bergerigi, sehingga mustahil baginya untuk membuka pintu Syurga, walaupun dia mengucapkannya lebih dari sejuta kali banyaknya. Kerana itu perhatikanlah apa yang disampaikan ini wahai diri dan sekalian yang membacanya, insya`allah.


Allahu `alam.


Isnin, 20 Julai 2009

Peristiwa Isra` Mikraj dan Kepentingannya Kepada Ummat



Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak.


Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam.


Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Subhanahu Wa Ta`ala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaanNya.


Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan mengyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.


Israk bererti perjalanan Nabi Salallahu Alaihi Wasallam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” -Al-Israa’: 1-


Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda Salallahu Alaihi Wasallam dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah Subhanahu Wa Ta`ala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:


“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” -An-Najm: 13-18-


Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.


Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah Subhanahu Wa Ta`ala memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah.


Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah Subhanahu Wa Ta`ala untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi Salallahu Alaihi Wasallam menerima saranan itu. Baginda pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah Subhanahu Wa Ta`ala mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.


Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :


“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” -Q.S. Hud: 114-


Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda Salallahu Alaihi Wasallam disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.


Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam.


Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.


Lalu, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi Salallahu Alaihi Wasallam.


Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:


1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.


2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.


3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.


4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.


5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.


6. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat. Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.


7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit telah mengejar baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.


Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :


“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” -An-Nahl: 43-


Selamat menghayati kehadiran Isra` Mikraj dan Selamat memenuhi hari-hari mendatang dengan amalan yang diredhaiNya, insya`allah.


Jumaat, 17 Julai 2009

Muqaddimah



Alhamdulillahi Rabil `lamin..

Pertamanya, ana bersyukur kerana dapat merealisasikan harapan diri juga ahli jamaah untuk mengwujudkan laman informasi perkumpulan usrah kami ini.

Insya`allah, ana juga rakan jamaah akan senantiasa sedayanya mengemaskini laman blog ini sebagai pengetahuan sekalian.

Sekiranya ada apa-apa cadangan mahupun pandangan bagi kemantapan Perkumpulan Usrah mahupun dakwah, bolehlah usulkan kepada pihak kami melalui email usrah_gedunglalang162@yahoo.com

Moga bermanfaat bukan sahaja kepada rakan usrah tetapi untuk Perjuangan Gerakan Islam itu juga, insya`allah.

SALAM JIHAD